Oleh Ustaz Nufail Rahman.
Mungkin sebahagian daripada kita masih lagi tertanya-tanya apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan istilah rahmah. Ibn ‘Asyur dalam tafsirnya mengatakan, “Ia adalah kelembutan pada diri, yang muncul apabila kita menzahirkan kebaikan bila ditimpa sesuatu yang melampaui batas[1].
Ada juga yang memaksudkan rahmah ini dengan berdoa agar makhluk-makhluk di muka bumi ini terus diberi kelembutan, serta kemaafan, daripada Allah azza wajalla[2].
Dalam sebuah hadith, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pula pernah bersabda:
“(Sesungguhnya) mereka-mereka yang berlembut (kepada manusia dan haiwan), maka Allah yang Maha Pengasih akan berlembut dengan mereka. Maka berlembutlah kalian dengan ahli bumi, dan nescaya akan berlembutlah yang di langit dengan kalian[3].”
Dalam hadith lain pula, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Barangsiapa yang tidak berlembut dengan manusia, maka tidaklah akan Allah berlembut dengan dia[4].”
Berikut saya datangkan 2 contoh yang mungkin selama ini kita pandang kecil, tapi sebenarnya sudah cukup memberi gambaran pada kata rahmah.
- Rahmah seorang Imam kepada Makmumnya.
Kadang bila seseorang itu menjadi imam, akan timbul perasaan gementar dan teruja dalam satu masa. Beliau akan membaca surah panjang tanpa memikirkan siapa makmumnya. Hal ini kerap kita lihat di beberapa masjid kita yang mana si Imam akan membaca surah panjang, atau mungkin pendek tapi dengan begitu perlahan hingga membuat makmum terasa letih atau tersengguk dek terasa kantuk.
Mari kita amati dua hadith berikut:
- Daripada ‘Aisyah Radhiyallahu ‘anhaa, beliau berkata: Pernah pada suatu malam, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam melambatkan waktu solatnya(Isyak), hingga berlalu sebahagian besar waktu malam, dan sehingga ahli masjid tertidur, kemudian beliau keluar dan solat, lalu kemudiannya berkata: “Inilah waktu yang sesuai, supaya tidak aku membebankan pada umatku[5].”
- Daripada Abi Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa sesungguhnya Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam pernah berkata: “Jika salah seorang di antara kamu mengimami orang, maka ringankanlah ia (rukun-rukun solat), kerana terdapat di antara mereka yang kecil, yang berumur, yang lemah, dan yang sakit (dalam riwayat lain ditambah: yang mempunyai hajat). Adapun jika dia solat seorang diri, maka solatlah mengikut kehendaknya[6].”
Pada hadith yang pertama, kita dapat lihat betapa Nabi tidak mahu umatnya terbeban jika solat Isyak itu hanya dilakukan segera selepas masuk waktunya, sedangkan waktunya agak panjang. Justeru dengan Nabi melambatkan solatnya, ini menunjukkan bahawa penyegeraan solat Isyak itu(ataupun solat fardhu lainnya) tidaklah wajib, bahkan ia diberi kelonggaran sama ada ingin menyegerakannya atau melambatkannya, selama mana tidak melebihi waktu yang dianjurkan. (Melambatkan waktu di sini adalah dalam rangka waktu yang dibolehkan, iaitu sebelum sampainya separuh atau sepertiga malam bagi solat Isyak misalnya[7].
Adapun pada hadith yang kedua, jelas yang dimaksudkan rahmah di sini adalah keprihatinan si Imam kepada makmumnya yang datang dari pelbagai jenis latar belakang.
- Rahmah seorang majikan kepada tukang gajinya.
Sebahagian daripada kita yang punyai pembantu rumah mungkin terkadang rasa yang dirinya besar dan lebih mulia daripada pembantu rumahnya. Lantaran itu diperintahnya si hamba Allah itu dengan nada sombong dan begitu hina. Mungkin mereka terlupa dengan teguran Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam kepada sahabatnya, Abu Dzar Al-Ghifariy, beliau bersabda: “..mereka itu (Ibn Basykuwal menekankan bahawa mereka itu ialah Bilal dan ibunya, Hamaamah[8]) ialah saudara kamu, yang mana Allah telah letakkan mereka di bawah jagaan kamu. Justeru berilah mereka makan dengan apa yang kamu juga makan, dan pakaikanlah mereka dengan pakaian yang kamu juga pakai, dan usah membebankan mereka melebihi daya mereka. Adapun jika kamu (ingin) memberi mereka tugasan yang berat, maka bantulah mereka[9].”
Bahkan dalam hadith lain, Nabi bersabda:-
“Jika seseorang pembantu itu menyiapkan makanan bagi kamu, kemudian dibawanya makanan itu kepada kamu; setelah dia bersusah payah menahan panas dan hawa asap memasak itu, maka ajaklah dia duduk sama kamu, dan makanlah bersama. Adapun jika makanan itu kelihatan semakin sedikit, maka letakkanlah di tangan dia(ketepikanlah sekurang-kurangnya) sesuap atau dua suap daripada makanan itu[10].”
*********
Moga dengan rencana ringkas ini dapatlah kita sama-sama muhasabah seraya bertanya pada diri kita, apakah sudah kita bersikap rahmah dengan makhluk sekeliling kita termasuk haiwan?
Barangkali ketandusan atau kekurangan sifat rahmah dalam diri kita adalah hasil daripada sikap sombong dan bangga diri yang mekar dalam diri kita tanpa kita sedari. Mungkin saja selama ini kita pandang mereka yang berkulit gelap atau hitam sebagai golongan bawahan, atau mungkin saja mereka yang mempunyai darah campuran Arab merasa yang dirinya lebih sempurna daripada mereka yang mempunyai darah campuran lain, sedangkan Rasulullah sendiri pernah bersabda, “Tidaklah ada kelebihan pada yang Arab, dengan yang bukan Arab; juga tiada lebihnya yang berkulit putih dengan yang berkulit hitam, melainkan hanya ketaqwaan (yang membezakan antara setiap daripada mereka)[11].”
Mungkin saja kita lupa yang kita ini sebenarnya adalah hamba kepada yang Maha Besar iaitu Allah subhaanahu wata’aala, dan jika rahmah yang ada pada Maha Pencipta itu sendiri sentiasa meliputi segala sesuatu, apakah masih kita ingin mendongakkan kepala dan merasa diri hebat sentiasa?
Moga dengan rahmah ini dapatlah kita sama-sama eratkan lagi hubungan kita sesama manusia, tidak kita darjat, bangsa mahupun agama.
Wallahu a’lam.
Rujukkan
[1] Rujuk: At-Tahrir wa At-Tanwir (Cetakan: Ad-Dar At-Tunisiyyah): 26/21
[2] Rujuk: ’Aun Al-Ma’bud oleh Al-Imam Syams Al-Haq Al-‘Adzim Abadiy (Cetakan: Maktabah Al-Ma’aarif): 7/203
[3] Hasan lighoirih; HR Abu Daud: 4941 dan At-Tirmidzi: 1924
[4] Muttafaq ‘alaih; Al-Bukhari: 7376 dan Muslim: 2319
[5] HR Muslim: 638
[6] HR Al-Bukhari: 704 dan 705, dan Muslim: 467 dan 468
[7] Rujuk: Al-Minhaj; syarah Sohih Muslim, oleh Al-Imam An-Nawawi (Cetakan Dar Al-Ma’rifah): 5/139-140
[8] Rujuk: Tanbih Al-Mu’lim (Cetakan Dar As-Sumai’iy) oleh Ibn Sibt; no. 651, ms 282
[9] Muttafaqun ‘alaih; Al-Bukhari: 30, 2545 dan 6050, dan Muslim: 1661
[10] Muttafaqun ‘alaih; Al-Bukhari: 2557 dan 5460, dan Muslim: 1663
[11] Rujuk: Musnad Al-Imam Ahmad: 17535, 23106 dan 23497